Sunday, October 10, 2010

TAHNIAH ANGKASAWAN NEGARA

Tarikh 10.10.10 merupakan tarikh yang dinantikan oleh ramai orang.Ramai yang memilih tarikh ini sebagai tarikh keramat mereka terutamanya melangsungkan majlis pernikahan dan persandingan. Tidak terkecuali Angkasawan Negara Datuk Sheikh Muszaphar Shukor Al- Masri yang telah melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Dr. Harlina..Tahniah kepada Sheikh Muszaphar, semoga perkahwinan ini memberi lebih semangat untuk berbakti kepada negara..

Tuesday, May 25, 2010

ANDALUSIA : Sejarah & Harapan ( Siri 1 )


Kedatangan Cahaya Islam di bumi Andalusia (Sepanyol) telah memberikan sinar tauhid dan membebaskan bumi itu di tangan kekuasaan bangsa Gothik yang kejam yang memerintah Sepanyol. Raja Sepanyol pada waktu itu bernama Rodriega merupakan seorang raja yang kejam dan ganas. Kehidupan rakyat Andalusia pada waktu dicengkam rasa ketakutan dan tidak diberi layanan yang adil oleh Raja Rodriega dan pembesar-pembesar Gothik. Hal ini telah mendapat perhatian oleh Musa Bin Nusair yang merupakan Gabenor Kerajaan Islam Umaiyah di bumi Afrika. Merasa bertanggungjawab dalam menyebarkan dakwah Islam dan ingin membebaskan rakyat Andalusia daripada cengkaman Raja Rodriega, Musa telah menghantar Tariq Bin Ziyad seorang panglima Islam yang hebat bagi mengetuai seramai 12 ribu orang tentera Islam ke bumi Andalus. Keputusan menghantar tentera ke bumi Sepanyol ini telah mendapat restu daripada Khalifah Islam pada masa itu yang berada di Damsyik.

Tariq Bin Ziyad telah berangkat ke Andalusia dengan menggunakan jalan laut dan melalui Selat Gibraltar. Kawasan pendaratan Tariq dan tentera-tentera Islam ini pada awalnya tidak bernama, tetapi telah diberikan nama oleh Tariq Bin Ziyad sendiri dengan menamakannya 'Jabal Tariq' sempenan nama Panglima Islam itu. Keberangkatan Tariq ditemani oleh Panglima Julian dan beberapa orangnya yang menjadi penunjuk jalan mereka. Panglima Julian merupakan Gabenor Ceuta di bawah jajahan Raja Rodriega. Julian telah berpaling tadah kerana Rodriega telah merogol anak gadis kesayangannya. Disebabkan itu, Julian sanggup mengharungi lautan luas untuk bertemu dengan Musa Bin Nusair bagi memerangi Rodriega dan menuntut bela atas kematian anak gadisnya.

Kedatangan tentera-tentera Islam ini ditentang dengan hebatnya oleh tentera-tentera Raja Rodriega yang seramai 100 ribu orang. Pada 19 Julai 711 Masihi terjadilah pertempuran yang hebat antara tentera Islam seramai 12 ribu orang di bawah pimpinan Tariq Bin Ziyad dengan tentera Sepanyol yang sembilan kali ganda lebih jumlahnya daripada tentera Islam pimpinan Raja Rodriega. Demi untuk menegakkan agama Allah di bumi Eropah ini, Tariq Bin Ziyad telah menggunakan strategi yang mengejutkan pihak sendiri dan musuh. Tariq telah mengarahkan agar kapal-kapal mereka dibakar dan dimusnahkan. Tariq seorang panglima yang berani dan hebat. Beliau mengarahkan kapal-kapal tentera Islam dibakar dengan tujuan supaya tentera Islam berjuang bermati-matian dan tidak akan berfikir untuk balik ke bumi Afrika. Semangat yang ditiupkan kepada tentera Islam oleh Tariq dengan menyatakan bahawa musuh berada di depan dan lautan di belakang, pilihan yang ada adalah kemenangan ataupun syahid di sisi Allah.

Strategi ini ternyata meniupkan semangat tentera Islam yang walaupun jumlahnya jauh lebih kecil daripada tentera Sepanyol tetapi akhirnya dapat menewaskan dan menumbangkan kerajaan Rodriega. Di pihak tentera Sepanyol yang menyangka Tariq Bin Ziyad adalah seorang panglima yang sudah gila kerana membakar kapal sendiri dan yakin bahawa Sepanyol akan menang akhirnya terpaksa menelan semua kebodohan dan keangkuhan mereka. Raja Rodriega telah terbunuh dan semasa melarikan diri daripada tentera Islam.

Walaupun selepas itu masih ada penentangan daripada saki baki tentera Gothik yang masih setia dengan Rodriega ia telah dapat dihapuskan dengan jayanya oleh Tariq Bin Ziyad dan mendapat bantuan daripada Musa bin Nusair. Kejayaan Tariq bin Ziyad membawa sinar Islam di bumi Eropah merupakan satu sejarah yang tidak boleh dilupakan.

(Bersambung..)

Wednesday, October 28, 2009

PERBEZAAN ULAMA DUNIA DAN ULAMA AKHIRAT


Ulama merupakan golongan yang dihormati oleh masyarakat dengan ketinggian ilmu agama yang mereka miliki. Golongan ini merupakan sumber rujukan dalam banyak perkara terutamanya yang berkaitan dengan hukum agama dan permasalahan yang melanda masyarakat hari ini. Golongan ini yang juga digelar sebagai pewaris Nabi-Nabi telah memberikan sumbangan dan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat pada hari ini.

Perbincangan hari ini adalah berkaitan dengan perbezaan antara ulama dunia dan ualam akhirat. Menurut Kitab Kasyful Asrar yang ditulis oleh Syeikh Mohd Saleh Bin Abdullah Mengkabau, ada beberapa orang yang digelar ulama (yakni orang yang berilmu) dan terdapat dua kategori iaitu ulama dunia dan ulama akhirat.

Perbincangan selanjutnya berkaitan dengan bagaimana untuk mengenalpasti antara ulama dunia dan ulama akhirat. Adapun antara ciri-ciri ulama dunia ialah :

1. Orang-orang yang mengetahui hukum yang zahir seperti halal dan haram, sah dan batal, makruh dan harus, sunat dan fardhu, rukun dan syarat.

2. Orang-orang yang mengetahui hukum di dunia seperti hukum sah dan batal nikah, sah dan batal perniagaan, halal dan haram perniagaan.

3. Orang-orang yang mengetahui hukum perbalahan sesama manusia, hukum manusia yang kasih kepada dunia dan kemegahannya.

Ciri-ciri ulama akhirat pula merangkumi mereka yang :

1. Orang yang tidak suka akan kemulian dan kemegahan dunia.

2. Orang-orang yang mengamalkan ilmunya.

3. Orang-orang yang sangat takut kepada Allah Taala.

4. Orang-orang yang sangat suka akan ilmu kebatinan iaitu ilmu Tasawuf

5. Orang-orang yang sangat benci melakukan maksiat.

6. Orang-orang yang menjauhkan diri daripada segala sifat yang dicela oleh syarak (sifat-sifat mazmumah) seperti riak, sum’ah, ujub, takbur, hasad dengki dan sebagainya.

Menurut kitab ini lagi, tuntutlah (belajar) ilmu ini walaupun daripada orang yang berbangsa Habsyi dengan mudah-mudahan mendapat keberkatan daripada ilmunya.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “ Selain Dajjal, ada yang lebih takut aku ke atas kamu daripada Dajjal sendiri. ”. Maka ditanya orang, siapakah dia wahai Rasulullah? Maka jawab Rasulullah: “ Ulama yang jahat ”

Itulah ulama yang tidak mengamalkan ilmunya, suka menziarahi raja-raja. Janganlah anda percaya kepadanya. Janganlah anda menuntut ilmu darinya, yang mewarisi ilmu syaitan dan dilaknati Allah. Belajarlah dari ulama yakni guru yang Mursyid yang sentiasa merendah diri dan yang amat mengasihi sesama manusia. Tidak menimbulkan prasangka dan mereka yang menyatukan ummah bukannya memecahbelahkan ummah.

Hari ini dalam masyarakat kita melihat terlalu ramai yang bergelar ulama. Ini adalah sesuatu yang positif dalam proses perkembangan masyarakat. Namun, terlalu ramai juga yang menggelarkan sendiri mereka adalah ulama sedangkan mereka tidak layak untuk digelar sedemikian berdasarkan ilmu dan pengalaman yang mereka miliki. Mungkin disebabkan faktor mempunyai pengikut yang ramai dan mempunyai penyokong maka ada dikalangan mereka bergelar Tok Guru sedangkan gelaran tersebut tidak sesuai atau mungkin tidak layak. Ada juga dikalangan pengikut mahupun penyokong mereka ini terlalu taksub dengan keperibadian Tok-Tok Guru mereka hinggakan membenarkan setiap apa yang dikatakan ulama mereka walaupun ada kalanya ulama juga melakukan kesilapan.

Hakikatnya setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebagai hamba-Nya, kita harus menginsafi diri dan sentiasa bertaubat kepada-Nya. Oleh itu tidak wajar manusia terlalu taksub kepada manusia lain walaupun ianya bergelar Tok Guru. Ini kerana hanya Nabi dan Rasul yang mempunyai sifat Maksum yang dijanjikan oleh Allah SWT yakni golongan yang terpelihara daripada sebarang dosa.

RAKYAT PILIH AHLI POLITIK ATAU BADUT SARKAS?...


Hari ini perbincangan berkaitan dengan sikap dan moral ahli-ahli politik masa kini yang dilihat semakin menyebabkan rakyat menjadi bosan melihat telatah dan tingkah laku mereka. Sebagai ahli poltik dan pastinya sebagai pemimpin harus memperlihatkan contah dan teladan yang baik kepada rakyat. Bukanlah menjadi pemimpin itu bererti seseorang perlu menjadi maksum yakni tidak melakukan sebarang dosa, tetapi sebagai pemimpin perlulah menunjukkan sikap yang lebih baik daripada orang lain.

Apa yang berlaku semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini telah membuktikan sikap dan nilai ahli-ahli poltik masa kini yang semakin buruk dan menjengkelkan. Rakyat pastinya boleh menilai sendiri apa yang berlaku hari ini sama ada daripada sudut positif mahupun negatif. Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen di peringkat pusat merupakan satu amanah rakyat yang perlu dihormati dan dijunjung tinggi. Ini kerana jika rakyat jika tidak memilih mereka maka mereka tidak diizinkan sekalipun untuk menghadiri satu-satu persidangan itu mewakili rakyat kawasan yang mereka dipilih. Malangnya di DUN Perak,sikap ahli-ahli DUN yang tidak menghormati Dewan dan menjadikan Dewan seumpama pasar merupakan satu sikap yang kurang ajar dan keterlaluan. Jika kita lihat laporan berita, Ahli-Ahli Dewan dilihat sesuka hati menjerit, berjalan mundar-mandir, berborak sesama sendiri seolah-olah tiada persidangan berlaku dan perbincangan serta perbahasan di dalam Dewan adalah sesuatu yang tidak penting. Sedangkan kita tahu dari dalam Dewan inilah yang akan membuat keputusan berkaitan permasalahan negeri dan rakyat serta menjadi penentu kepada masa depan negeri mahupun negara.

Apa yang berlaku dalam Persidangan DUN Perak hari ini adalah amat menyedihkan. Inilah akibat jika Demokrasi disalah-ertikan. Kelompok ini menjadikan Demokrasi sebagai satu senjata dan memanipulasi sistem tersebut demi kepentingan diri masing-masing. Dalam artikel penulis berkaitan dengan perbezaan antara Demokrasi Tulen yang diamalkan di Amerika Syarikat dan Demokrasi Terpimpin yang kita amalkan telah menyatakan dengan jelas kenapa dalam konteks negara ini perlunya diamalkan Demokrasi Terpimpin. Contoh yang terjadi di DUN Perak ini menguatkan hujah penulis jika kita tidak mengamalkan demokrasi terpimpin, sekelompok ahli politik yang tidak matang ini akan menjadikan politik sebagai gelanggang sarkas bagi mereka menunjukkan bakat mereka sebagai apa yang dikatakan sebagai badut.

Apa yang paling penting kini rakyat perlu sedar atau disedarkan dalam memilih pemimpin untuk mewakili mereka. Rakyat perlu bijak menilai pemimpin mereka dan tidak seharusnya membiarkan pisang berbuah dua kali. Jika dibiarkan berterusan dengan apa yang berlaku hari ini, kerugian pastinya di pihak rakyat. Pembangunan tidak dapat dijalankan dan ekonomi tidak dapat berkembang kerana badut-badut ini sibuk membuat persembahan bodoh untuk menunjukkan keegoan dan kebebalan masing-masing. Dalam konteks negeri Perak, penulis percaya ekonomi negeri Perak sedang mengalami penurunan kerana krisis politik yang berpanjangan dan pastinya rakyat negeri Perak akan merasai perkara itu. Jika ini berlaku, siapakah golongan yang paling rugi dalam hal ini??..Persoalan ini terjawab suatu hari nanti apabila melihat ramai anak-anak jati Perak terutamanya anak-anak muda yang terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki.


Friday, October 9, 2009

PKR+DAP+PAS =PAKATAN RAKYAT?????

Adakah akan menjadi realiti melihat parti PKR,DAP dan PAS melalui penggabungan mereka yang dipanggil Pakatan Rakyat terlihat melalui ura-ura yang ketiga-tiga pemimpin parti berkenaan akan membuat pendaftaran dengan pendaftar pertubuhan (ROS). Kita tertunggu-tunggu untuk melihat bolehkah ketiga-tiga parti ini bergabung dan bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi merealisasikan impian politik masing-masing. Umumnya tahu parti PKR.DAP dan PAS sering bekerjasama dalam pilihanraya bagi melawan parti Barisan Nasional (BN). Mereka boleh berkongsi pentas ceramah bagi menghentam kerajaan BN dalam ceramah-ceramah mereka. Dibeberapa buah negeri yang sudah mereka kuasai seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, mereka masih giat menunjukkan kepada rakyat bahawa kerjasama parti mereka masih utuh dengan cara berkongsi pentas ceramah dan menghentam BN walaupun hakikatnya mereka telah menjadi kerajaan dan BN hanyalah parti pembangkang.

Kita sudah sedia maklum sejarah penubuhan dan perjuangan ketiga-tiga parti ini adalah berbeza. PAS dengan perjuangan negara Islam, PKR dengan tema keadilannya dan DAP dengan konsep Malaysian Malaysia. Persoalannya adakah dengan perjuangan dan matlamat yang berbeza ini boleh mereka boleh bekerjasama dalam satu parti yang mereka gelarkan Pakatan Rakyat?..Hari ini pihak ROS telah menyatakan bahawa Pakatan Rakyat boleh didaftarkan secara rasmi mengikut undang-undang jika ketiga-tiga parti tersebut menghantar permohonan kepada ROS. Mereka hanya perlu membuat permohonan dan perlembagaan parti seperti pendaftaran BN. Alasan yang dikemukan oleh PAS bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh didaftarkan kerana tidak cukup tujuh parti untuk didaftarkan seperti mana yang diminta oleh pihak ROS adalah tidak munasabah. Soalnya mereka masih belum menghantar sebarang permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat. Adakah menjadi masalah kepada mereka untuk mendaftar dengan hanya menyediakan perlembagaan parti.

Ini menjadi persoalan?..Kita cabar kepimpinan PAS,PKR & DAP untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat menjadi sebuah parti gabungan sepertimana BN jika benar mereka ingin berjuang demi kepentingan rakyat. Buktikanlah kepada rakyat yang mereka benar-benar boleh bekerjasama sepertimana parti-parti komponen BN atau mereka hanya boleh bekerjasama di atas pentas-pentas ceramah untuk menghentam kerajaan?....

Friday, November 14, 2008

MB PERAK TUNJUK SAMSENG

Sikap kasar MB Perak dibidas
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Beberapa persatuan wartawan hari ini membidas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bersikap kasar terhadap seorang jurugambar Utusan Malaysia di Ipoh semalam. Presiden Institut Akhbar Malaysia, Datuk Azman Ujang berkata, ini adalah pertama kali seorang menteri besar di negara ini bertindak sedemikian dan ia tidak menggambarkan kebebasan media.
"Seorang menteri besar tidak harus berbuat demikian kerana sebagai pemimpin, beliau harus bersikap terbuka dalam cara beliau berurusan dengan media," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohammad Nizar dilaporkan memaksa jurugambar Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, menyerahkan kamera dan memadamkan gambar menteri besar itu diberi surat tuntutan maaf daripada seorang peguam.
Menteri Besar itu juga dilaporkan telah mengherdik Mohd. Najib dan memanggil jurugambar itu dengan panggilan "woi" bagi meminta diserahkan kad memori kameranya.
Azman berkata, sebagai seorang menteri besar, Mohammad Nizar sepatutnya memahami bahawa tugas dan peranan pihak media ialah membuat liputan tugasan rasminya bukan soal peribadinya.
Beliau berkata, sebagai seorang wakil rakyat dari Pas yang memegang jawatan di negeri di bawah Pakatan Rakyat, Mohammad Nizar harus belajar daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa berhemah dalam menjalinkan hubungan dengan media.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Md. Daud turut melahirkan rasa terkejut bahawa seorang pemimpin besar boleh bertindak keterlaluan.
Katanya, beliau telah menasihatkan jurugambar berkenaan membuat laporan polis kerana Mohammad Nizar telah menghalang tugasnya.
"Tugas seorang jurugambar sama seperti tugas penjawat awam atau polis yang tidak patut ada sesiapa yang melarang menjalankan tugas mereka, kecuali di negara yang bukan demokrasi," katanya.
Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan, Mokhtar Hussain berkata, sebagai seorang ketua bagi sebuah kerajaan negeri, Mohammad Nizar sepatutnya menjalin hubungan baik dengan media kerana kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing terhadap rakyat.
Di Ipoh, Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Samad Majid berkata, sikap yang ditunjukkan Mohammad Nizar itu tidak mencerminkan budaya yang baik bagi seorang pemimpin dan ia sangat memalukan.
"Jurufoto berkenaan mempunyai pas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Perak bagi membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri dan sekadar menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau," katanya.
Samad berharap Mohammad Nizar akan memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya itu.
Mohd. Najib pula berkata, beliau berasa amat terhina dengan kejadian yang berlaku itu.
"Apa yang berlaku terhadap saya benar-benar memperlekehkan media. Saya berasa terhina kerana seolah-olah telah melakukan satu kesalahan," katanya.

Saturday, August 2, 2008

PAS OH PAS

Tuan Guru Haji HAdi Awang telah mengumumkan yang PAS tidak akan membentuk kerajaan campuran dengan UMNO dan terus komited dengan Pakatan Rakyat. Pengumuman ini pasti melegakan DAP dan PKR kerana jika PAS membuat keputusan sebaliknya pasti akan mengancam kedudukan Pakatan Rakyat.

PAS telah pun membuat keputusan, bagi mereka lebih baik bekerjasama dengan DAP dan PKR daripada bekerjasama dengan UMNO. Nik Aziz telah mengemukakan syarat bahawa jika UMNO ingin bekerjasama mereka perlu menerima Hudud dan Qisas. Syarat ini perkara paling utama jika UMNO mahu PAS duduk di bawah satu bumbung..

Sedih dengan PAS..Sebenarnya penyatuan Melayu dan Ummah perlu diutamakan. Tidak perlu meletakkan syarat baik UMNO mahupun PAS. Segala perkara berkaitan umat Islam/Melayu boleh dibincang sesama UMNO dan PAS. Janganlah jadikan satu-satu perkara sebagai alasan semata-mata bagi mengelakkan penyatuan. Pelik, PAS beria-ia meletakkan syarat jika mahu berkerjasama dengan UMNO yang pemimpin dan ahli-ahlinya semua berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sedangkan PAS langsung tidak mengenakan syarat untuk duduk sebumbung dan bekerjasama dengan DAP dalam pakatan Rakyat terutama di Selangor dan Perak. Kita tahu parti DAP bukanlah sebuah parti orang-orang Melayu jauh sekali untuk orang Islam dan DAP terang-terang menolak pemerintahan Islam..Tetapi mengapa PAS boleh duduk sebumbung dan bekerjasama dengan parti kafir ini..Ape ke her nye ngan PAS ni YOB?..