Wednesday, October 28, 2009

PERBEZAAN ULAMA DUNIA DAN ULAMA AKHIRAT


Ulama merupakan golongan yang dihormati oleh masyarakat dengan ketinggian ilmu agama yang mereka miliki. Golongan ini merupakan sumber rujukan dalam banyak perkara terutamanya yang berkaitan dengan hukum agama dan permasalahan yang melanda masyarakat hari ini. Golongan ini yang juga digelar sebagai pewaris Nabi-Nabi telah memberikan sumbangan dan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat pada hari ini.

Perbincangan hari ini adalah berkaitan dengan perbezaan antara ulama dunia dan ualam akhirat. Menurut Kitab Kasyful Asrar yang ditulis oleh Syeikh Mohd Saleh Bin Abdullah Mengkabau, ada beberapa orang yang digelar ulama (yakni orang yang berilmu) dan terdapat dua kategori iaitu ulama dunia dan ulama akhirat.

Perbincangan selanjutnya berkaitan dengan bagaimana untuk mengenalpasti antara ulama dunia dan ulama akhirat. Adapun antara ciri-ciri ulama dunia ialah :

1. Orang-orang yang mengetahui hukum yang zahir seperti halal dan haram, sah dan batal, makruh dan harus, sunat dan fardhu, rukun dan syarat.

2. Orang-orang yang mengetahui hukum di dunia seperti hukum sah dan batal nikah, sah dan batal perniagaan, halal dan haram perniagaan.

3. Orang-orang yang mengetahui hukum perbalahan sesama manusia, hukum manusia yang kasih kepada dunia dan kemegahannya.

Ciri-ciri ulama akhirat pula merangkumi mereka yang :

1. Orang yang tidak suka akan kemulian dan kemegahan dunia.

2. Orang-orang yang mengamalkan ilmunya.

3. Orang-orang yang sangat takut kepada Allah Taala.

4. Orang-orang yang sangat suka akan ilmu kebatinan iaitu ilmu Tasawuf

5. Orang-orang yang sangat benci melakukan maksiat.

6. Orang-orang yang menjauhkan diri daripada segala sifat yang dicela oleh syarak (sifat-sifat mazmumah) seperti riak, sum’ah, ujub, takbur, hasad dengki dan sebagainya.

Menurut kitab ini lagi, tuntutlah (belajar) ilmu ini walaupun daripada orang yang berbangsa Habsyi dengan mudah-mudahan mendapat keberkatan daripada ilmunya.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “ Selain Dajjal, ada yang lebih takut aku ke atas kamu daripada Dajjal sendiri. ”. Maka ditanya orang, siapakah dia wahai Rasulullah? Maka jawab Rasulullah: “ Ulama yang jahat ”

Itulah ulama yang tidak mengamalkan ilmunya, suka menziarahi raja-raja. Janganlah anda percaya kepadanya. Janganlah anda menuntut ilmu darinya, yang mewarisi ilmu syaitan dan dilaknati Allah. Belajarlah dari ulama yakni guru yang Mursyid yang sentiasa merendah diri dan yang amat mengasihi sesama manusia. Tidak menimbulkan prasangka dan mereka yang menyatukan ummah bukannya memecahbelahkan ummah.

Hari ini dalam masyarakat kita melihat terlalu ramai yang bergelar ulama. Ini adalah sesuatu yang positif dalam proses perkembangan masyarakat. Namun, terlalu ramai juga yang menggelarkan sendiri mereka adalah ulama sedangkan mereka tidak layak untuk digelar sedemikian berdasarkan ilmu dan pengalaman yang mereka miliki. Mungkin disebabkan faktor mempunyai pengikut yang ramai dan mempunyai penyokong maka ada dikalangan mereka bergelar Tok Guru sedangkan gelaran tersebut tidak sesuai atau mungkin tidak layak. Ada juga dikalangan pengikut mahupun penyokong mereka ini terlalu taksub dengan keperibadian Tok-Tok Guru mereka hinggakan membenarkan setiap apa yang dikatakan ulama mereka walaupun ada kalanya ulama juga melakukan kesilapan.

Hakikatnya setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebagai hamba-Nya, kita harus menginsafi diri dan sentiasa bertaubat kepada-Nya. Oleh itu tidak wajar manusia terlalu taksub kepada manusia lain walaupun ianya bergelar Tok Guru. Ini kerana hanya Nabi dan Rasul yang mempunyai sifat Maksum yang dijanjikan oleh Allah SWT yakni golongan yang terpelihara daripada sebarang dosa.

No comments: