Wednesday, October 28, 2009

RAKYAT PILIH AHLI POLITIK ATAU BADUT SARKAS?...


Hari ini perbincangan berkaitan dengan sikap dan moral ahli-ahli politik masa kini yang dilihat semakin menyebabkan rakyat menjadi bosan melihat telatah dan tingkah laku mereka. Sebagai ahli poltik dan pastinya sebagai pemimpin harus memperlihatkan contah dan teladan yang baik kepada rakyat. Bukanlah menjadi pemimpin itu bererti seseorang perlu menjadi maksum yakni tidak melakukan sebarang dosa, tetapi sebagai pemimpin perlulah menunjukkan sikap yang lebih baik daripada orang lain.

Apa yang berlaku semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini telah membuktikan sikap dan nilai ahli-ahli poltik masa kini yang semakin buruk dan menjengkelkan. Rakyat pastinya boleh menilai sendiri apa yang berlaku hari ini sama ada daripada sudut positif mahupun negatif. Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen di peringkat pusat merupakan satu amanah rakyat yang perlu dihormati dan dijunjung tinggi. Ini kerana jika rakyat jika tidak memilih mereka maka mereka tidak diizinkan sekalipun untuk menghadiri satu-satu persidangan itu mewakili rakyat kawasan yang mereka dipilih. Malangnya di DUN Perak,sikap ahli-ahli DUN yang tidak menghormati Dewan dan menjadikan Dewan seumpama pasar merupakan satu sikap yang kurang ajar dan keterlaluan. Jika kita lihat laporan berita, Ahli-Ahli Dewan dilihat sesuka hati menjerit, berjalan mundar-mandir, berborak sesama sendiri seolah-olah tiada persidangan berlaku dan perbincangan serta perbahasan di dalam Dewan adalah sesuatu yang tidak penting. Sedangkan kita tahu dari dalam Dewan inilah yang akan membuat keputusan berkaitan permasalahan negeri dan rakyat serta menjadi penentu kepada masa depan negeri mahupun negara.

Apa yang berlaku dalam Persidangan DUN Perak hari ini adalah amat menyedihkan. Inilah akibat jika Demokrasi disalah-ertikan. Kelompok ini menjadikan Demokrasi sebagai satu senjata dan memanipulasi sistem tersebut demi kepentingan diri masing-masing. Dalam artikel penulis berkaitan dengan perbezaan antara Demokrasi Tulen yang diamalkan di Amerika Syarikat dan Demokrasi Terpimpin yang kita amalkan telah menyatakan dengan jelas kenapa dalam konteks negara ini perlunya diamalkan Demokrasi Terpimpin. Contoh yang terjadi di DUN Perak ini menguatkan hujah penulis jika kita tidak mengamalkan demokrasi terpimpin, sekelompok ahli politik yang tidak matang ini akan menjadikan politik sebagai gelanggang sarkas bagi mereka menunjukkan bakat mereka sebagai apa yang dikatakan sebagai badut.

Apa yang paling penting kini rakyat perlu sedar atau disedarkan dalam memilih pemimpin untuk mewakili mereka. Rakyat perlu bijak menilai pemimpin mereka dan tidak seharusnya membiarkan pisang berbuah dua kali. Jika dibiarkan berterusan dengan apa yang berlaku hari ini, kerugian pastinya di pihak rakyat. Pembangunan tidak dapat dijalankan dan ekonomi tidak dapat berkembang kerana badut-badut ini sibuk membuat persembahan bodoh untuk menunjukkan keegoan dan kebebalan masing-masing. Dalam konteks negeri Perak, penulis percaya ekonomi negeri Perak sedang mengalami penurunan kerana krisis politik yang berpanjangan dan pastinya rakyat negeri Perak akan merasai perkara itu. Jika ini berlaku, siapakah golongan yang paling rugi dalam hal ini??..Persoalan ini terjawab suatu hari nanti apabila melihat ramai anak-anak jati Perak terutamanya anak-anak muda yang terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki.


No comments: