Tuesday, May 25, 2010
ANDALUSIA : Sejarah & Harapan ( Siri 1 )
Kedatangan Cahaya Islam di bumi Andalusia (Sepanyol) telah memberikan sinar tauhid dan membebaskan bumi itu di tangan kekuasaan bangsa Gothik yang kejam yang memerintah Sepanyol. Raja Sepanyol pada waktu itu bernama Rodriega merupakan seorang raja yang kejam dan ganas. Kehidupan rakyat Andalusia pada waktu dicengkam rasa ketakutan dan tidak diberi layanan yang adil oleh Raja Rodriega dan pembesar-pembesar Gothik. Hal ini telah mendapat perhatian oleh Musa Bin Nusair yang merupakan Gabenor Kerajaan Islam Umaiyah di bumi Afrika. Merasa bertanggungjawab dalam menyebarkan dakwah Islam dan ingin membebaskan rakyat Andalusia daripada cengkaman Raja Rodriega, Musa telah menghantar Tariq Bin Ziyad seorang panglima Islam yang hebat bagi mengetuai seramai 12 ribu orang tentera Islam ke bumi Andalus. Keputusan menghantar tentera ke bumi Sepanyol ini telah mendapat restu daripada Khalifah Islam pada masa itu yang berada di Damsyik.
Tariq Bin Ziyad telah berangkat ke Andalusia dengan menggunakan jalan laut dan melalui Selat Gibraltar. Kawasan pendaratan Tariq dan tentera-tentera Islam ini pada awalnya tidak bernama, tetapi telah diberikan nama oleh Tariq Bin Ziyad sendiri dengan menamakannya 'Jabal Tariq' sempenan nama Panglima Islam itu. Keberangkatan Tariq ditemani oleh Panglima Julian dan beberapa orangnya yang menjadi penunjuk jalan mereka. Panglima Julian merupakan Gabenor Ceuta di bawah jajahan Raja Rodriega. Julian telah berpaling tadah kerana Rodriega telah merogol anak gadis kesayangannya. Disebabkan itu, Julian sanggup mengharungi lautan luas untuk bertemu dengan Musa Bin Nusair bagi memerangi Rodriega dan menuntut bela atas kematian anak gadisnya.
Kedatangan tentera-tentera Islam ini ditentang dengan hebatnya oleh tentera-tentera Raja Rodriega yang seramai 100 ribu orang. Pada 19 Julai 711 Masihi terjadilah pertempuran yang hebat antara tentera Islam seramai 12 ribu orang di bawah pimpinan Tariq Bin Ziyad dengan tentera Sepanyol yang sembilan kali ganda lebih jumlahnya daripada tentera Islam pimpinan Raja Rodriega. Demi untuk menegakkan agama Allah di bumi Eropah ini, Tariq Bin Ziyad telah menggunakan strategi yang mengejutkan pihak sendiri dan musuh. Tariq telah mengarahkan agar kapal-kapal mereka dibakar dan dimusnahkan. Tariq seorang panglima yang berani dan hebat. Beliau mengarahkan kapal-kapal tentera Islam dibakar dengan tujuan supaya tentera Islam berjuang bermati-matian dan tidak akan berfikir untuk balik ke bumi Afrika. Semangat yang ditiupkan kepada tentera Islam oleh Tariq dengan menyatakan bahawa musuh berada di depan dan lautan di belakang, pilihan yang ada adalah kemenangan ataupun syahid di sisi Allah.
Strategi ini ternyata meniupkan semangat tentera Islam yang walaupun jumlahnya jauh lebih kecil daripada tentera Sepanyol tetapi akhirnya dapat menewaskan dan menumbangkan kerajaan Rodriega. Di pihak tentera Sepanyol yang menyangka Tariq Bin Ziyad adalah seorang panglima yang sudah gila kerana membakar kapal sendiri dan yakin bahawa Sepanyol akan menang akhirnya terpaksa menelan semua kebodohan dan keangkuhan mereka. Raja Rodriega telah terbunuh dan semasa melarikan diri daripada tentera Islam.
Walaupun selepas itu masih ada penentangan daripada saki baki tentera Gothik yang masih setia dengan Rodriega ia telah dapat dihapuskan dengan jayanya oleh Tariq Bin Ziyad dan mendapat bantuan daripada Musa bin Nusair. Kejayaan Tariq bin Ziyad membawa sinar Islam di bumi Eropah merupakan satu sejarah yang tidak boleh dilupakan.
(Bersambung..)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment