Wednesday, November 10, 2010

BAHANA ILMU TANPA BIMBINGAN







Muka depan Harian Metro hari ini (10 November 2010 - http://www.hmetro.com.my/articles/Bertakbirdikapakanak/Article) melaporkan seorang remaja di Pekan telah menetak kepala ibunya hingga meninggal dunia. Dipercayai remaja terbabit dipengaruhi oleh ilmu mistik. Menurut keluarganya, remaja terbabit sering membaca sebuah buku yang bertajuk 'Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhluk Halus'. Menurut saksi remaja terbabit yang berusia dalam lingkungan 23tahun telah menetak kepala ibunya hingga mengalami pendarahan yang teruk semasa ibunya sedang menyidai kain di ampaian.

Saya tertarik untuk mengulas tentang isu ini memandangkan perkara ada kaitan dengan apa yang melanda masyarakat kita sekarang. Saya pasti remaja terbabit tidak akan melakukan perkara sekejam itu dalam keadaan normal. Pastinya dia dipengaruhi oleh makhluk jahat yang mungkin telah merasuk dirinya kesan daripada menuntut ilmu yang salah dan tidak dibimbing oleh guru yang berpengalaman. Ini yang dikatakan oleh masyarakat terutamanya masyarakat Melayu sebagai 'gila isim'. Perkara ini telah terjadi sejak dahulu lagi dalam konteks masyarakat Melayu terutamanya. Sering kali kita dengar cerita-cerita dahulu dan mungkin hari ini dimana ada orang mengamuk seluruh kampung dan membunuh orang tanpa sebab.

Masyarakat hari ini banyak terpengaruh dengan media massa mahupun cetak. Saya percaya punca utama kes ini berlaku disebabkan terpengaruh dengan tayangan-tayangan di telivisyen mahupun di dada-dada akhbar tentang perkara-perkara mistik yang kadang-kadang membawa kepada tahyul. Filem dan drama Melayu juga banyak menayangkan genre-genre seram yang kadang-kadang tidak membawa manfaat dan dibuat dengan ala kadar. Jika kita tengok telivisyen hari ini, banyak saluran yang menayangkan cerita-cerita seram yang berunsur mistik dan tahyul yang membawa kepada kepercayaan-keparcayaan yang luar biasa. Belum lagi percetakan majalah, buku mahupun akhbar yang mempunyai ciri-ciri terbabit.

Memang tidak dinafikan bahawa selain daripada kewujudan manusia, ada makhluk-makhluk lain selain daripada manusia di atas muka bumi ini. Firman Allah " Tidak aku jadikan Jin dan Manusia itu melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaku " telah membuktikan kewujudan makhluk lain selain daripada manusia, Selain peristiwa yang tercatat dalam Al-Quran, kisah bagaimana Nabi Allah Sulaiman yang telah mengarahkan Jin Ifrit untuk memindahkan Istana Ratu Balqis memperlihatkan hubungan antara manusia dan makhluk lain sudah berlaku. Tetapi dalam konteks hari ini, perkara ini telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak yang terlalu taksub untuk menuntut ilmu mistik ini sedangkan perkara tersebut adalah urusan Allah S.W.T dan kita sebagai manusia harus menyerahkan diri kepada Allah dan tidak terlalu memikirkan untuk memiliki ilmu yang akhirya memusnahkan diri kita sendiri disebabkan tidak dibimbing dengan betul.

Dalam konteks hari ini, kerajaan harus mengambil tindakan yang tegas dengan mengawal unsur-unsur ini supaya tidak memberi kesan negatif dalam masyarakat. Penyebaran pengaruh mistik ini sangat menular di kalangan masyarakat hari ini dan telah memberi kesan yang negatif ke dalam masyarakat. Sudah sampai masanya Kerajaan mengambil tindakan terutamanya menapis dan memberhentikan tayangan cerita-cerita terbabit yang memberi kesan buruk kepada masyarakat hari ini.

No comments: