Tuesday, December 7, 2010



Bola Sepak Malaysia ada turun naik. Dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Sukan Asia seringkali kita dikecewakan oleh kekalahan demi kekalahan. Hari ini pasukan bola sepak kebangsaan telah menunjukkan peningkatan demi peningkatan. Skuad kendalian K. Rajagopal ini telah memberikan persembahan yang menarik bermula apabila menjuarai pingat emas semasa Sukan Sea di Laos, kemudian melayakkan diri ke peringkat ke dua semasa Sukan Asia di Guangzhau, China dan hari ini pasukan sama telah melayakkan diri ke separuh akhir Piala Suzuki AFF yang berlangsung di Jakarta, Indonesia. Ini merupakan pencapaian yang baik yang mana telah lama kita tidak kecapinya. Setidak-tidaknya skuad kebangsaan kendalian Rajagopal ini telah menunjukkan peningkatan dalam aksi mereka setelah beberapa lama rakyat menantikannya dan berjuta-juta wang rakyat telah dilaburkan demi pembangunan bola sepak negara.

Wednesday, November 10, 2010

BAHANA ILMU TANPA BIMBINGAN







Muka depan Harian Metro hari ini (10 November 2010 - http://www.hmetro.com.my/articles/Bertakbirdikapakanak/Article) melaporkan seorang remaja di Pekan telah menetak kepala ibunya hingga meninggal dunia. Dipercayai remaja terbabit dipengaruhi oleh ilmu mistik. Menurut keluarganya, remaja terbabit sering membaca sebuah buku yang bertajuk 'Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhluk Halus'. Menurut saksi remaja terbabit yang berusia dalam lingkungan 23tahun telah menetak kepala ibunya hingga mengalami pendarahan yang teruk semasa ibunya sedang menyidai kain di ampaian.

Saya tertarik untuk mengulas tentang isu ini memandangkan perkara ada kaitan dengan apa yang melanda masyarakat kita sekarang. Saya pasti remaja terbabit tidak akan melakukan perkara sekejam itu dalam keadaan normal. Pastinya dia dipengaruhi oleh makhluk jahat yang mungkin telah merasuk dirinya kesan daripada menuntut ilmu yang salah dan tidak dibimbing oleh guru yang berpengalaman. Ini yang dikatakan oleh masyarakat terutamanya masyarakat Melayu sebagai 'gila isim'. Perkara ini telah terjadi sejak dahulu lagi dalam konteks masyarakat Melayu terutamanya. Sering kali kita dengar cerita-cerita dahulu dan mungkin hari ini dimana ada orang mengamuk seluruh kampung dan membunuh orang tanpa sebab.

Masyarakat hari ini banyak terpengaruh dengan media massa mahupun cetak. Saya percaya punca utama kes ini berlaku disebabkan terpengaruh dengan tayangan-tayangan di telivisyen mahupun di dada-dada akhbar tentang perkara-perkara mistik yang kadang-kadang membawa kepada tahyul. Filem dan drama Melayu juga banyak menayangkan genre-genre seram yang kadang-kadang tidak membawa manfaat dan dibuat dengan ala kadar. Jika kita tengok telivisyen hari ini, banyak saluran yang menayangkan cerita-cerita seram yang berunsur mistik dan tahyul yang membawa kepada kepercayaan-keparcayaan yang luar biasa. Belum lagi percetakan majalah, buku mahupun akhbar yang mempunyai ciri-ciri terbabit.

Memang tidak dinafikan bahawa selain daripada kewujudan manusia, ada makhluk-makhluk lain selain daripada manusia di atas muka bumi ini. Firman Allah " Tidak aku jadikan Jin dan Manusia itu melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaku " telah membuktikan kewujudan makhluk lain selain daripada manusia, Selain peristiwa yang tercatat dalam Al-Quran, kisah bagaimana Nabi Allah Sulaiman yang telah mengarahkan Jin Ifrit untuk memindahkan Istana Ratu Balqis memperlihatkan hubungan antara manusia dan makhluk lain sudah berlaku. Tetapi dalam konteks hari ini, perkara ini telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak yang terlalu taksub untuk menuntut ilmu mistik ini sedangkan perkara tersebut adalah urusan Allah S.W.T dan kita sebagai manusia harus menyerahkan diri kepada Allah dan tidak terlalu memikirkan untuk memiliki ilmu yang akhirya memusnahkan diri kita sendiri disebabkan tidak dibimbing dengan betul.

Dalam konteks hari ini, kerajaan harus mengambil tindakan yang tegas dengan mengawal unsur-unsur ini supaya tidak memberi kesan negatif dalam masyarakat. Penyebaran pengaruh mistik ini sangat menular di kalangan masyarakat hari ini dan telah memberi kesan yang negatif ke dalam masyarakat. Sudah sampai masanya Kerajaan mengambil tindakan terutamanya menapis dan memberhentikan tayangan cerita-cerita terbabit yang memberi kesan buruk kepada masyarakat hari ini.

Sunday, October 10, 2010

TAHNIAH ANGKASAWAN NEGARA

Tarikh 10.10.10 merupakan tarikh yang dinantikan oleh ramai orang.Ramai yang memilih tarikh ini sebagai tarikh keramat mereka terutamanya melangsungkan majlis pernikahan dan persandingan. Tidak terkecuali Angkasawan Negara Datuk Sheikh Muszaphar Shukor Al- Masri yang telah melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Dr. Harlina..Tahniah kepada Sheikh Muszaphar, semoga perkahwinan ini memberi lebih semangat untuk berbakti kepada negara..

Tuesday, May 25, 2010

ANDALUSIA : Sejarah & Harapan ( Siri 1 )


Kedatangan Cahaya Islam di bumi Andalusia (Sepanyol) telah memberikan sinar tauhid dan membebaskan bumi itu di tangan kekuasaan bangsa Gothik yang kejam yang memerintah Sepanyol. Raja Sepanyol pada waktu itu bernama Rodriega merupakan seorang raja yang kejam dan ganas. Kehidupan rakyat Andalusia pada waktu dicengkam rasa ketakutan dan tidak diberi layanan yang adil oleh Raja Rodriega dan pembesar-pembesar Gothik. Hal ini telah mendapat perhatian oleh Musa Bin Nusair yang merupakan Gabenor Kerajaan Islam Umaiyah di bumi Afrika. Merasa bertanggungjawab dalam menyebarkan dakwah Islam dan ingin membebaskan rakyat Andalusia daripada cengkaman Raja Rodriega, Musa telah menghantar Tariq Bin Ziyad seorang panglima Islam yang hebat bagi mengetuai seramai 12 ribu orang tentera Islam ke bumi Andalus. Keputusan menghantar tentera ke bumi Sepanyol ini telah mendapat restu daripada Khalifah Islam pada masa itu yang berada di Damsyik.

Tariq Bin Ziyad telah berangkat ke Andalusia dengan menggunakan jalan laut dan melalui Selat Gibraltar. Kawasan pendaratan Tariq dan tentera-tentera Islam ini pada awalnya tidak bernama, tetapi telah diberikan nama oleh Tariq Bin Ziyad sendiri dengan menamakannya 'Jabal Tariq' sempenan nama Panglima Islam itu. Keberangkatan Tariq ditemani oleh Panglima Julian dan beberapa orangnya yang menjadi penunjuk jalan mereka. Panglima Julian merupakan Gabenor Ceuta di bawah jajahan Raja Rodriega. Julian telah berpaling tadah kerana Rodriega telah merogol anak gadis kesayangannya. Disebabkan itu, Julian sanggup mengharungi lautan luas untuk bertemu dengan Musa Bin Nusair bagi memerangi Rodriega dan menuntut bela atas kematian anak gadisnya.

Kedatangan tentera-tentera Islam ini ditentang dengan hebatnya oleh tentera-tentera Raja Rodriega yang seramai 100 ribu orang. Pada 19 Julai 711 Masihi terjadilah pertempuran yang hebat antara tentera Islam seramai 12 ribu orang di bawah pimpinan Tariq Bin Ziyad dengan tentera Sepanyol yang sembilan kali ganda lebih jumlahnya daripada tentera Islam pimpinan Raja Rodriega. Demi untuk menegakkan agama Allah di bumi Eropah ini, Tariq Bin Ziyad telah menggunakan strategi yang mengejutkan pihak sendiri dan musuh. Tariq telah mengarahkan agar kapal-kapal mereka dibakar dan dimusnahkan. Tariq seorang panglima yang berani dan hebat. Beliau mengarahkan kapal-kapal tentera Islam dibakar dengan tujuan supaya tentera Islam berjuang bermati-matian dan tidak akan berfikir untuk balik ke bumi Afrika. Semangat yang ditiupkan kepada tentera Islam oleh Tariq dengan menyatakan bahawa musuh berada di depan dan lautan di belakang, pilihan yang ada adalah kemenangan ataupun syahid di sisi Allah.

Strategi ini ternyata meniupkan semangat tentera Islam yang walaupun jumlahnya jauh lebih kecil daripada tentera Sepanyol tetapi akhirnya dapat menewaskan dan menumbangkan kerajaan Rodriega. Di pihak tentera Sepanyol yang menyangka Tariq Bin Ziyad adalah seorang panglima yang sudah gila kerana membakar kapal sendiri dan yakin bahawa Sepanyol akan menang akhirnya terpaksa menelan semua kebodohan dan keangkuhan mereka. Raja Rodriega telah terbunuh dan semasa melarikan diri daripada tentera Islam.

Walaupun selepas itu masih ada penentangan daripada saki baki tentera Gothik yang masih setia dengan Rodriega ia telah dapat dihapuskan dengan jayanya oleh Tariq Bin Ziyad dan mendapat bantuan daripada Musa bin Nusair. Kejayaan Tariq bin Ziyad membawa sinar Islam di bumi Eropah merupakan satu sejarah yang tidak boleh dilupakan.

(Bersambung..)