Wednesday, October 28, 2009

PERBEZAAN ULAMA DUNIA DAN ULAMA AKHIRAT


Ulama merupakan golongan yang dihormati oleh masyarakat dengan ketinggian ilmu agama yang mereka miliki. Golongan ini merupakan sumber rujukan dalam banyak perkara terutamanya yang berkaitan dengan hukum agama dan permasalahan yang melanda masyarakat hari ini. Golongan ini yang juga digelar sebagai pewaris Nabi-Nabi telah memberikan sumbangan dan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat pada hari ini.

Perbincangan hari ini adalah berkaitan dengan perbezaan antara ulama dunia dan ualam akhirat. Menurut Kitab Kasyful Asrar yang ditulis oleh Syeikh Mohd Saleh Bin Abdullah Mengkabau, ada beberapa orang yang digelar ulama (yakni orang yang berilmu) dan terdapat dua kategori iaitu ulama dunia dan ulama akhirat.

Perbincangan selanjutnya berkaitan dengan bagaimana untuk mengenalpasti antara ulama dunia dan ulama akhirat. Adapun antara ciri-ciri ulama dunia ialah :

1. Orang-orang yang mengetahui hukum yang zahir seperti halal dan haram, sah dan batal, makruh dan harus, sunat dan fardhu, rukun dan syarat.

2. Orang-orang yang mengetahui hukum di dunia seperti hukum sah dan batal nikah, sah dan batal perniagaan, halal dan haram perniagaan.

3. Orang-orang yang mengetahui hukum perbalahan sesama manusia, hukum manusia yang kasih kepada dunia dan kemegahannya.

Ciri-ciri ulama akhirat pula merangkumi mereka yang :

1. Orang yang tidak suka akan kemulian dan kemegahan dunia.

2. Orang-orang yang mengamalkan ilmunya.

3. Orang-orang yang sangat takut kepada Allah Taala.

4. Orang-orang yang sangat suka akan ilmu kebatinan iaitu ilmu Tasawuf

5. Orang-orang yang sangat benci melakukan maksiat.

6. Orang-orang yang menjauhkan diri daripada segala sifat yang dicela oleh syarak (sifat-sifat mazmumah) seperti riak, sum’ah, ujub, takbur, hasad dengki dan sebagainya.

Menurut kitab ini lagi, tuntutlah (belajar) ilmu ini walaupun daripada orang yang berbangsa Habsyi dengan mudah-mudahan mendapat keberkatan daripada ilmunya.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “ Selain Dajjal, ada yang lebih takut aku ke atas kamu daripada Dajjal sendiri. ”. Maka ditanya orang, siapakah dia wahai Rasulullah? Maka jawab Rasulullah: “ Ulama yang jahat ”

Itulah ulama yang tidak mengamalkan ilmunya, suka menziarahi raja-raja. Janganlah anda percaya kepadanya. Janganlah anda menuntut ilmu darinya, yang mewarisi ilmu syaitan dan dilaknati Allah. Belajarlah dari ulama yakni guru yang Mursyid yang sentiasa merendah diri dan yang amat mengasihi sesama manusia. Tidak menimbulkan prasangka dan mereka yang menyatukan ummah bukannya memecahbelahkan ummah.

Hari ini dalam masyarakat kita melihat terlalu ramai yang bergelar ulama. Ini adalah sesuatu yang positif dalam proses perkembangan masyarakat. Namun, terlalu ramai juga yang menggelarkan sendiri mereka adalah ulama sedangkan mereka tidak layak untuk digelar sedemikian berdasarkan ilmu dan pengalaman yang mereka miliki. Mungkin disebabkan faktor mempunyai pengikut yang ramai dan mempunyai penyokong maka ada dikalangan mereka bergelar Tok Guru sedangkan gelaran tersebut tidak sesuai atau mungkin tidak layak. Ada juga dikalangan pengikut mahupun penyokong mereka ini terlalu taksub dengan keperibadian Tok-Tok Guru mereka hinggakan membenarkan setiap apa yang dikatakan ulama mereka walaupun ada kalanya ulama juga melakukan kesilapan.

Hakikatnya setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebagai hamba-Nya, kita harus menginsafi diri dan sentiasa bertaubat kepada-Nya. Oleh itu tidak wajar manusia terlalu taksub kepada manusia lain walaupun ianya bergelar Tok Guru. Ini kerana hanya Nabi dan Rasul yang mempunyai sifat Maksum yang dijanjikan oleh Allah SWT yakni golongan yang terpelihara daripada sebarang dosa.

RAKYAT PILIH AHLI POLITIK ATAU BADUT SARKAS?...


Hari ini perbincangan berkaitan dengan sikap dan moral ahli-ahli politik masa kini yang dilihat semakin menyebabkan rakyat menjadi bosan melihat telatah dan tingkah laku mereka. Sebagai ahli poltik dan pastinya sebagai pemimpin harus memperlihatkan contah dan teladan yang baik kepada rakyat. Bukanlah menjadi pemimpin itu bererti seseorang perlu menjadi maksum yakni tidak melakukan sebarang dosa, tetapi sebagai pemimpin perlulah menunjukkan sikap yang lebih baik daripada orang lain.

Apa yang berlaku semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini telah membuktikan sikap dan nilai ahli-ahli poltik masa kini yang semakin buruk dan menjengkelkan. Rakyat pastinya boleh menilai sendiri apa yang berlaku hari ini sama ada daripada sudut positif mahupun negatif. Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen di peringkat pusat merupakan satu amanah rakyat yang perlu dihormati dan dijunjung tinggi. Ini kerana jika rakyat jika tidak memilih mereka maka mereka tidak diizinkan sekalipun untuk menghadiri satu-satu persidangan itu mewakili rakyat kawasan yang mereka dipilih. Malangnya di DUN Perak,sikap ahli-ahli DUN yang tidak menghormati Dewan dan menjadikan Dewan seumpama pasar merupakan satu sikap yang kurang ajar dan keterlaluan. Jika kita lihat laporan berita, Ahli-Ahli Dewan dilihat sesuka hati menjerit, berjalan mundar-mandir, berborak sesama sendiri seolah-olah tiada persidangan berlaku dan perbincangan serta perbahasan di dalam Dewan adalah sesuatu yang tidak penting. Sedangkan kita tahu dari dalam Dewan inilah yang akan membuat keputusan berkaitan permasalahan negeri dan rakyat serta menjadi penentu kepada masa depan negeri mahupun negara.

Apa yang berlaku dalam Persidangan DUN Perak hari ini adalah amat menyedihkan. Inilah akibat jika Demokrasi disalah-ertikan. Kelompok ini menjadikan Demokrasi sebagai satu senjata dan memanipulasi sistem tersebut demi kepentingan diri masing-masing. Dalam artikel penulis berkaitan dengan perbezaan antara Demokrasi Tulen yang diamalkan di Amerika Syarikat dan Demokrasi Terpimpin yang kita amalkan telah menyatakan dengan jelas kenapa dalam konteks negara ini perlunya diamalkan Demokrasi Terpimpin. Contoh yang terjadi di DUN Perak ini menguatkan hujah penulis jika kita tidak mengamalkan demokrasi terpimpin, sekelompok ahli politik yang tidak matang ini akan menjadikan politik sebagai gelanggang sarkas bagi mereka menunjukkan bakat mereka sebagai apa yang dikatakan sebagai badut.

Apa yang paling penting kini rakyat perlu sedar atau disedarkan dalam memilih pemimpin untuk mewakili mereka. Rakyat perlu bijak menilai pemimpin mereka dan tidak seharusnya membiarkan pisang berbuah dua kali. Jika dibiarkan berterusan dengan apa yang berlaku hari ini, kerugian pastinya di pihak rakyat. Pembangunan tidak dapat dijalankan dan ekonomi tidak dapat berkembang kerana badut-badut ini sibuk membuat persembahan bodoh untuk menunjukkan keegoan dan kebebalan masing-masing. Dalam konteks negeri Perak, penulis percaya ekonomi negeri Perak sedang mengalami penurunan kerana krisis politik yang berpanjangan dan pastinya rakyat negeri Perak akan merasai perkara itu. Jika ini berlaku, siapakah golongan yang paling rugi dalam hal ini??..Persoalan ini terjawab suatu hari nanti apabila melihat ramai anak-anak jati Perak terutamanya anak-anak muda yang terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki.


Friday, October 9, 2009

PKR+DAP+PAS =PAKATAN RAKYAT?????

Adakah akan menjadi realiti melihat parti PKR,DAP dan PAS melalui penggabungan mereka yang dipanggil Pakatan Rakyat terlihat melalui ura-ura yang ketiga-tiga pemimpin parti berkenaan akan membuat pendaftaran dengan pendaftar pertubuhan (ROS). Kita tertunggu-tunggu untuk melihat bolehkah ketiga-tiga parti ini bergabung dan bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi merealisasikan impian politik masing-masing. Umumnya tahu parti PKR.DAP dan PAS sering bekerjasama dalam pilihanraya bagi melawan parti Barisan Nasional (BN). Mereka boleh berkongsi pentas ceramah bagi menghentam kerajaan BN dalam ceramah-ceramah mereka. Dibeberapa buah negeri yang sudah mereka kuasai seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, mereka masih giat menunjukkan kepada rakyat bahawa kerjasama parti mereka masih utuh dengan cara berkongsi pentas ceramah dan menghentam BN walaupun hakikatnya mereka telah menjadi kerajaan dan BN hanyalah parti pembangkang.

Kita sudah sedia maklum sejarah penubuhan dan perjuangan ketiga-tiga parti ini adalah berbeza. PAS dengan perjuangan negara Islam, PKR dengan tema keadilannya dan DAP dengan konsep Malaysian Malaysia. Persoalannya adakah dengan perjuangan dan matlamat yang berbeza ini boleh mereka boleh bekerjasama dalam satu parti yang mereka gelarkan Pakatan Rakyat?..Hari ini pihak ROS telah menyatakan bahawa Pakatan Rakyat boleh didaftarkan secara rasmi mengikut undang-undang jika ketiga-tiga parti tersebut menghantar permohonan kepada ROS. Mereka hanya perlu membuat permohonan dan perlembagaan parti seperti pendaftaran BN. Alasan yang dikemukan oleh PAS bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh didaftarkan kerana tidak cukup tujuh parti untuk didaftarkan seperti mana yang diminta oleh pihak ROS adalah tidak munasabah. Soalnya mereka masih belum menghantar sebarang permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat. Adakah menjadi masalah kepada mereka untuk mendaftar dengan hanya menyediakan perlembagaan parti.

Ini menjadi persoalan?..Kita cabar kepimpinan PAS,PKR & DAP untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat menjadi sebuah parti gabungan sepertimana BN jika benar mereka ingin berjuang demi kepentingan rakyat. Buktikanlah kepada rakyat yang mereka benar-benar boleh bekerjasama sepertimana parti-parti komponen BN atau mereka hanya boleh bekerjasama di atas pentas-pentas ceramah untuk menghentam kerajaan?....