Friday, September 2, 2011

Jurukamera Bernama Maut di Mogadishu


Jurukamera Bernama Noramfaizul Mohd Nor telah dilaporkan terkorban hari semasa membuat liputan penderitaan rakyat Somalia dalam Misi Kemanusiaa Kelab Putera 1Malaysia. Beliau telah terkena peluru sesat semasa dalam perjalanan ke Mogadishu. Ketika itu beliau dan bersama wartawan dan jurukamera yang lain menaiki trak yang diiringi oleh tentera kerajaan. Serangan tersebut disyaki ditujukan kepada tentera kerajaan, namun telah tersasar hingga mengenai Noramfaizul yang ketika itu duduk bersebelahan dengan tingkap.

Ini adalah korban pertama sukarelawan rakyat Malaysia dalam membuat kebajikan di negara asing. Allahyarham Noramfaizul sebelum ini aktif bersama dengan misi kemanusian Kelab Putera 1Malaysia pernah mengikut membuat liputan semasa Misi Kemanusiaan Kelab ini semasa kejadian gempa bumi yang melanda Crishturch, New Zealand. Juga ini adalah korban ke dua rakyat Malaysia di bumi Somalia selepas terkorbannya Koperal Mat Aznan Awang semasa misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam tahun 1990 an. Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang adalah salah seorang anggota Batalion Malaysia (MALBAT 1) yang ditugaskan untuk mengembalikan keamanan di Somalia.

Sayangnya Somalia sehingga hari ini masih tidak aman disebabkan oleh rakyat mereka sendiri. Tidak ada musuh pun yang menyerang negara tanduk Afrika ini tetapi yang menjadi musuh negara ini adalah rakyat mereka sendiri. Sehingga ke hari ini, negara ini adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai kerajaan yang bersifat sementara dan tidak tentu kedudukannya.

Sesungguhnya Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor telah memperlihatkan kesungguhan dan jatidiri rakyat Malaysia dalam membawa misi keamanan ke seluruh dunia. Aktiviti kesukarelawan rakyat Malaysia pada hari ini adalah sangat membanggakan. Semoga tidak ada yang patah semangat dalam meneruskan kerja-kerja yang sangat mulia ini demi membawa misi keamanan dan membantu masyarakat dunia. Hari ini Malaysia membuktikan bahawa rakyatnya berkemampuan dan berani untuk membantu bangsa dan negara lain yang memerlukan bantuan walaupun terpaksa berkorban nyawa.

Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor wajar dikenang sebagai hero rakyat Malaysia dan dunia. AL-FATIHAH..

Thursday, August 25, 2011

Anwar Semakin Pening




Pasukan pembelaan Anwar semalam cuba mendedahkan bahawa makmal yang mengendalikan analisis DNA di Petaling Jaya, belum lagi menerima tauliah American Society of Crime Lab Directors (ASCLD). Mereka berkata makmal tersebut tidak mengikut standard dan piawaian dunia (baca pendedahan ini).

Namun segalanya tidak menjadi bagi pasukan pembela yang di ketuai oleh peguam terkemuka Ram Karpal Singh apabila sebenarnya makmal Forensic Division yang terdapat di Petaling Jaya telah mendapat pengiktirafan pada tahun 2006 lagi dari ASCLD. Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan dari ASCLD (baca sini).


Ini menunjukkan penipuan demi penipuan yang sudah dibuat dan akan dibuat oleh Anwar Ibrahim dan barisan peguamnya. Lain kali nak menipu buatlah research dulu, kan dah kantoi..Karpal Singh pernah berkata Anwar harus bertaubat!..Dua kali lima je mereka berdua ni..

Wednesday, August 24, 2011

QPR Milik Tony & Kamarudin


Anak Malaysia kini menjadi tuan kepada kelab bola sepak Inggeris iaitu Queens Park Rangers (QPR). Kelab yang berpangkalan di barat London ditubuhkan sejak 1882 kini sudah berusaha 125 tahun, lebih tua usianya berbanding dengan umur Malaysia yang baru 54 tahun merdeka. Jika dahulu anak Malaysia merupakan hamba kepada bangsa Inggeris, kini anak Malaysia adalah tuan kepada bangsa ini. Tony Fernandez dan Kamarudin Meranum adalah contoh rakyat Malaysia yang berjaya menjadi tuan kepada bangsa Inggeris yang satu masa dahulu adalah satu bangsa yang menguasai negara ini.

KEKACAUAN DI BRITAIN MENGUNDANG PERSEPSI BURUK ANTARABANGSA



Krisis rusuhan yang berlaku di ibukota London, Britain merupakan tamparan hebat terhadap kepimpinan kerajaan campuran yang dipimpin oleh tokoh konservatif David Cameroon (gambar atas). Krisis yang berlaku ini juga memberi gambaran yang kurang baik kepada kota London yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012. Masih jelas di ingatan bagaimana krisis di Tibet, China di saat negara China akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2008. Walaupun banyak spekulasi yang menyatakan bahawa krisis yang berlaku di Tibet adalah disebabkan oleh cubaan pihak-pihak luar yang hendak menggagalkan sukan olimpik dan memberi malu kepada kerajaan China, namun Beijing tetap berjaya menganjurkan sukan olimpik dengan gilang gemilang dan merupakan antara penganjuran terbaik sukan olimpik yang pernah dianjurkan.

Sukan Olimpik merupakan temasya sukan yang terbesar di dunia. Sukan yang disertai oleh semua negara di dunia ini merupakan satu medan untuk menyatukan negara-negara di dunia ini yang bergolak dari segi politik,ekonomi,keselamatan mahupun sosial disatukan dalam satu medan iaitu sukan. Dapatkah kita bayangkan ahli-ahli sukan dari negara Amerika Syarikat bersaing dalam salah satu acara sukan seperti bola sepak dengan negara Iran yang mana kedua-dua buah kerajaan negara ini adalah bermusuhan antara satu sama lain.. Persaingan dalam sukan ini dijelmakan dalam mesej yang sihat berbanding persaingan dalam bidang persenjataan mahupun peperangan yang sudah pastinya akan mala petaka yang dasyat kepada umat manusia.

Kini giliran Britain menghadapi ancaman rusuhan yang melanda ibukota London dan beberapa wilayah di Britain yang disebabkan oleh kumpulan gangster dan orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Di London, bebarapa buah bangunan telah dibakar dan premis-premis perniagaan telah diceroboh oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini. Kejadian rompakan dan kecurian berleluasa. Pendudukan tempatan tidak dapat menjalankan aktiviti biasa malah hidup dalam ketakutan. Tidak dapat dibayangkan situasi yang biasanya berlaku dalam negara yang bergolak yang mana kerajaan dan pasukan keselamatannya yang lemah seperti Sudan, Somalia mahupun Congo, situasi yang sama berlaku dalam sebuah negara maju seperti Britain sudah pastinya mempunyai pasukan keselamatan yang terbaik di dunia ditambah dengan pasukan polis rahsianya yang dikenali sebagai Scotland Yard antara pasukan polis terbaik dalam mengumpulkan maklumat berkaitan dengan ancaman keselamatan.

Terbaru seorang pelajar Malaysia tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi mangsa kepada kerakusan dan kejahatan segelintir masyarakat di Britain. Asyraf Haziq Rosli merupakan pelajar jurusan perakaunan yang baru sebulan berada di London, telah dipukul dan dirompak oleh sekumpulan lelaki Britain di London. Asyraf yang dalam perjalanan untuk menziarahi ke rumah rakannya untuk berbuka puasa telah terperangkap dalam sekumpulan perusuh yang sedang merosakkan harta benda awam. Basikal yang ditunggang Asyraf telah dirampas dan beliau telah dipukul sehingga berdarah. Seorang lelaki yang kelihatan cuba membantu sebaliknya telah mencuri sesuatu dalam beg yang disandang oleh Asyraf. Kejadian yang berlaku ini telah dirakam dan dipertontonkan di seluruh dunia melalui laman youtube. Ini telah memberikan imej yang buruk kepada Britain hingga mendapat reaksi spontan dari Perdana Menteri Britain. David Cameroon dalam satu sidang media dalam keadaan emosi telah mengkritik golongan pelampau itu. Cameroon mengulas bahawa masyarakat Britain yang telah mengasari seorang anak muda (merujuk kepada Asyraf) tanpa sebab dan ada yang cuba membantu tetapi dalam masa yang sama merompak anak muda tersebut, maka ada sesuatu yang tidak kena kepada masyarakat Britain ini yang digambarkan oleh Cameroon sebagai masyarakat yang bukan sahaja pincang tetapi sakit dan uzur. Reaksi keras juga segera di buat oleh Pemangku Pesuruhjaya Britain ke Malaysia Ray Kyles yang menganggap rakyat Britain yang mengasari Asyraf sebagai pengecut. Reaksi ini adalah atas kebertanggungjawaban dan rasa malu mereka kepada rakyat negara ini.

Mesej Cameroon ini amat jelas kepada rakyat Britain yang sememangnya ada sesuatu yang tidak kena kepada bangsa yang dahulunya sangat terkenal dengan dasar imperialisnya dan cuba hendak mengajar bangsa lain yang dianggap tidak bertamadun melalui dasar ‘white burden’ atau beban orang putih. Beban yang kononnya dipertanggungjawab ke atas mereka untuk menyebarkan tamadun kepada bangsa lain termasuklah bangsa Melayu di Tanah Melayu. Beban yang dipertanggungjawab ke atas mereka ini jugalah yang telah menyebabkan mereka mengaut segala kekayaan hasil bumi Tanah Melayu terutamanya bijih timah hingga hasil tersebut kering di bumi Melayu ini dan tidak dapat dirasai oleh generasi hari ini. Beban tersebut juga telah melahirkan ramai saudagar-saudagar British menjadi kaya raya dan menyumbang pendapatan yang lumayan kepada kerajaan British pada waktu itu. Memang diakui bahawa kedatangan British juga membawa kebaikkan kepada Tanah Melayu terutama dari segi pengurusan dan pentadbiran negara. Tetapi hasil mereka rampas dari Tanah Melayu ini melebihi dari apa yang mereka berikan kepada negara ini.

Britain merupakan negara maju yang mempunyai segala-segalanya. Termasuk pasukan keselamatan yang kuat dan hebat. Jika hendak dibandingkan dengan pasukan keselamatan negara-negara membangun seperti Malaysia, pasukan polis Britain jauh lebih hebat dari segi pengalaman dan lengkap peralatannya berbanding dengan polis Malaysia. Ditambah ramai pegawai-pegawai polis Malaysia yang dihantar untuk menimba ilmu di Britain bagi menambahkan kecekapan mereka. Tetapi apa yang berlaku di London memperlihatkan pasukan polis Britain seperti tidak bersedia untuk menghadapi rusuhan yang dimulakan oleh rakyat mereka sendiri. Pasukan polis seperti Scotland Yard iaitu cabang perisikan polis Britain yang dikenali di seluruh dunia seperti gagal untuk mengesan dari awal rusuhan yang sedang berlaku ini. Berbeza dengan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia dan pasukan Polis Diraja Malaysia itu sendiri yang berjaya mengekang aktiviti rusuhan dan keganasan yang cuba dilakukan oleh segelintir rakyat Malaysia sewaktu isu Bersih baru-baru ini. Risikan yang tepat dan tindakan pantas polis telah berjaya mengekang aktiviti Bersih dari cuba memburukkan dan menjejaskan imej negara di mata dunia. Rakyat Malaysia harus merasa bangga dengan pencapaian Polis Diraja Malaysia yang berjaya memastikan keamanan dalam negara ini walaupun dicemuh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan segelintir pihak yang cuba mencabar ketegasan pihak polis dan undang-undang negara.

Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kita harus mengambil pengajaran tentang apa yang berlaku di Britain ini. Demonstrasi, rusuhan dan keganasan adalah sesuatu yang akhirnya membawa keburukkan kepada negara. Imej Britain tercalar teruk di mata dunia disebabkan rusuhan yang berlaku di London dan beberapa wilayah di negara tersebut. Sudah pasti dengan apa yang berlaku telah menjejaskan ekonomi Britain. Jika sebuah negara maju seperti Britain boleh terjejas dengan aktiviti rusuhan dan demonstrasi yang dilakukan oleh segelintir rakyat mereka, apatah lagi negara kecil dan membangun seperti Malaysia. Sudah pasti negara seperti Malaysia akan terjejas teruk terutamanya dari segi ekonominya. Pelancong akan takut untuk datang dan pelabur akan berfikir banyak kali sebelum melaburkan duit mereka di negara ini. Apa yang paling memalukan ialah imej negara dan bangsa Malaysia akan tercalar sebagai bangsa yang picang, tidak bertamadun dan pengecut.

Perang Saudara di Libya




Libya kini di ambang Perang Saudara yang dasyat apabila tentera Muammar Gaddafi dan tentera pemberontak di lihat gagal menguasai di antara satu sama lain. Ini bakal mencetuskan penderitaan yang berpanjangan kepada rakyat Libya. Satu lagi negara Islam yang akan hancur selepas Iraq. Perubahan yang cuba dilakukan oleh sebilangan rakyat Libya ini yang disokong oleh beberapa kuasa barat memperlihatkan satu lagi percaturan kuasa besar bagi mengusai negara yang mempunyai simpanan minyak dan gas yang banyak ini.
Lihatlah apakah nasib yang bakal ditimpa oleh rakyat Libya..


Tuesday, December 7, 2010



Bola Sepak Malaysia ada turun naik. Dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Sukan Asia seringkali kita dikecewakan oleh kekalahan demi kekalahan. Hari ini pasukan bola sepak kebangsaan telah menunjukkan peningkatan demi peningkatan. Skuad kendalian K. Rajagopal ini telah memberikan persembahan yang menarik bermula apabila menjuarai pingat emas semasa Sukan Sea di Laos, kemudian melayakkan diri ke peringkat ke dua semasa Sukan Asia di Guangzhau, China dan hari ini pasukan sama telah melayakkan diri ke separuh akhir Piala Suzuki AFF yang berlangsung di Jakarta, Indonesia. Ini merupakan pencapaian yang baik yang mana telah lama kita tidak kecapinya. Setidak-tidaknya skuad kebangsaan kendalian Rajagopal ini telah menunjukkan peningkatan dalam aksi mereka setelah beberapa lama rakyat menantikannya dan berjuta-juta wang rakyat telah dilaburkan demi pembangunan bola sepak negara.

Wednesday, November 10, 2010

BAHANA ILMU TANPA BIMBINGAN







Muka depan Harian Metro hari ini (10 November 2010 - http://www.hmetro.com.my/articles/Bertakbirdikapakanak/Article) melaporkan seorang remaja di Pekan telah menetak kepala ibunya hingga meninggal dunia. Dipercayai remaja terbabit dipengaruhi oleh ilmu mistik. Menurut keluarganya, remaja terbabit sering membaca sebuah buku yang bertajuk 'Perubatan Islam Menangkis Kejahatan Makhluk Halus'. Menurut saksi remaja terbabit yang berusia dalam lingkungan 23tahun telah menetak kepala ibunya hingga mengalami pendarahan yang teruk semasa ibunya sedang menyidai kain di ampaian.

Saya tertarik untuk mengulas tentang isu ini memandangkan perkara ada kaitan dengan apa yang melanda masyarakat kita sekarang. Saya pasti remaja terbabit tidak akan melakukan perkara sekejam itu dalam keadaan normal. Pastinya dia dipengaruhi oleh makhluk jahat yang mungkin telah merasuk dirinya kesan daripada menuntut ilmu yang salah dan tidak dibimbing oleh guru yang berpengalaman. Ini yang dikatakan oleh masyarakat terutamanya masyarakat Melayu sebagai 'gila isim'. Perkara ini telah terjadi sejak dahulu lagi dalam konteks masyarakat Melayu terutamanya. Sering kali kita dengar cerita-cerita dahulu dan mungkin hari ini dimana ada orang mengamuk seluruh kampung dan membunuh orang tanpa sebab.

Masyarakat hari ini banyak terpengaruh dengan media massa mahupun cetak. Saya percaya punca utama kes ini berlaku disebabkan terpengaruh dengan tayangan-tayangan di telivisyen mahupun di dada-dada akhbar tentang perkara-perkara mistik yang kadang-kadang membawa kepada tahyul. Filem dan drama Melayu juga banyak menayangkan genre-genre seram yang kadang-kadang tidak membawa manfaat dan dibuat dengan ala kadar. Jika kita tengok telivisyen hari ini, banyak saluran yang menayangkan cerita-cerita seram yang berunsur mistik dan tahyul yang membawa kepada kepercayaan-keparcayaan yang luar biasa. Belum lagi percetakan majalah, buku mahupun akhbar yang mempunyai ciri-ciri terbabit.

Memang tidak dinafikan bahawa selain daripada kewujudan manusia, ada makhluk-makhluk lain selain daripada manusia di atas muka bumi ini. Firman Allah " Tidak aku jadikan Jin dan Manusia itu melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaku " telah membuktikan kewujudan makhluk lain selain daripada manusia, Selain peristiwa yang tercatat dalam Al-Quran, kisah bagaimana Nabi Allah Sulaiman yang telah mengarahkan Jin Ifrit untuk memindahkan Istana Ratu Balqis memperlihatkan hubungan antara manusia dan makhluk lain sudah berlaku. Tetapi dalam konteks hari ini, perkara ini telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak yang terlalu taksub untuk menuntut ilmu mistik ini sedangkan perkara tersebut adalah urusan Allah S.W.T dan kita sebagai manusia harus menyerahkan diri kepada Allah dan tidak terlalu memikirkan untuk memiliki ilmu yang akhirya memusnahkan diri kita sendiri disebabkan tidak dibimbing dengan betul.

Dalam konteks hari ini, kerajaan harus mengambil tindakan yang tegas dengan mengawal unsur-unsur ini supaya tidak memberi kesan negatif dalam masyarakat. Penyebaran pengaruh mistik ini sangat menular di kalangan masyarakat hari ini dan telah memberi kesan yang negatif ke dalam masyarakat. Sudah sampai masanya Kerajaan mengambil tindakan terutamanya menapis dan memberhentikan tayangan cerita-cerita terbabit yang memberi kesan buruk kepada masyarakat hari ini.