Friday, September 2, 2011

Jurukamera Bernama Maut di Mogadishu


Jurukamera Bernama Noramfaizul Mohd Nor telah dilaporkan terkorban hari semasa membuat liputan penderitaan rakyat Somalia dalam Misi Kemanusiaa Kelab Putera 1Malaysia. Beliau telah terkena peluru sesat semasa dalam perjalanan ke Mogadishu. Ketika itu beliau dan bersama wartawan dan jurukamera yang lain menaiki trak yang diiringi oleh tentera kerajaan. Serangan tersebut disyaki ditujukan kepada tentera kerajaan, namun telah tersasar hingga mengenai Noramfaizul yang ketika itu duduk bersebelahan dengan tingkap.

Ini adalah korban pertama sukarelawan rakyat Malaysia dalam membuat kebajikan di negara asing. Allahyarham Noramfaizul sebelum ini aktif bersama dengan misi kemanusian Kelab Putera 1Malaysia pernah mengikut membuat liputan semasa Misi Kemanusiaan Kelab ini semasa kejadian gempa bumi yang melanda Crishturch, New Zealand. Juga ini adalah korban ke dua rakyat Malaysia di bumi Somalia selepas terkorbannya Koperal Mat Aznan Awang semasa misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam tahun 1990 an. Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang adalah salah seorang anggota Batalion Malaysia (MALBAT 1) yang ditugaskan untuk mengembalikan keamanan di Somalia.

Sayangnya Somalia sehingga hari ini masih tidak aman disebabkan oleh rakyat mereka sendiri. Tidak ada musuh pun yang menyerang negara tanduk Afrika ini tetapi yang menjadi musuh negara ini adalah rakyat mereka sendiri. Sehingga ke hari ini, negara ini adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai kerajaan yang bersifat sementara dan tidak tentu kedudukannya.

Sesungguhnya Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor telah memperlihatkan kesungguhan dan jatidiri rakyat Malaysia dalam membawa misi keamanan ke seluruh dunia. Aktiviti kesukarelawan rakyat Malaysia pada hari ini adalah sangat membanggakan. Semoga tidak ada yang patah semangat dalam meneruskan kerja-kerja yang sangat mulia ini demi membawa misi keamanan dan membantu masyarakat dunia. Hari ini Malaysia membuktikan bahawa rakyatnya berkemampuan dan berani untuk membantu bangsa dan negara lain yang memerlukan bantuan walaupun terpaksa berkorban nyawa.

Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor wajar dikenang sebagai hero rakyat Malaysia dan dunia. AL-FATIHAH..